Pergh … banyak sawang dah blog ni.
Dah lama tak menulis.
Hari ini, bukan nak tulis panjang berjela, tetapi sesuatu yang ingin saya rekodkan dalam memori Hari Guru.
Saya memulakan alam persekolahan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan St. Mary’s Convent. Bermula pada tahun 1983 hingag tahun 1988. Enam tahun yang cukup indah terpatri di sekolah yang letaknya di puncak sebuah bukit. Sekolah saya sangat kecil. Ada dua sesi. Untuk setiap tahap (1-6), hanya ada 3 kelas. Itu pun digelar dengan cukup mudah, Kelas A, B, & C.
Saya diletakkan dalam kelas 1B pada tahun 1983. Guru Kelas saya yang pertama adalah Mrs. Rajoo.
6 tahun disini, dibawah pimpinan gurubesar Mrs. Solibun, saya dan teman-teman dididik oleh Mrs. Tan, Mrs. Rose Wong, Cikgu Chong, Cikgu Shariffah, Cikgu Irene, Mrs. Chok, Cikgu Siti Hajar dan ramai guru lain … tetapi yang paling saya ingat dan kenang selalu adalah Cikgu Mat Isa.
Cikgu Mat Isa adalah antara guru yang menimbulkan kesedaran dalam diri saya bahawa, jika saya benar-benar berusaha, saya pasti dapat melakukan sesuatu yang mengkagumkan. Dan jika saya leka, semua itu boleh dirampas pergi dari saya dengan sekelip mata sahaja. Inilah Cikgu pertama yang memberi ruang dan peluang kepada saya untuk sedar, bahawa saya ada bakat dalam muzik. Tetapi, untuk seorang kanak-kanak pada ketika itu, apalah yang saya tahu tentang bakat? Dan saya lebih cenderung menghabiskan waktu bermain dengan teman-teman berbanding turut serta dalam kelas latihan yang diadakan oleh Cikgu Mat Isa. Bila tidak terpilih untuk menyertai band sekolah, baru saya terasa sedih … tetapi … tidak cukup signifkan untuk membangkitkan keinginan saya untuk mencintai ilmu.
Saya melangkah ke alam persekolahan menengah pada tahun 1989. Dan tamat tingkatan 5 pada 1993. Sekolah Menengah Sung Siew merupakan antara sekolah terbaik di Sabah pada ketika itu. Saya pun tidak tahu, bagaimana saya yang mempunyai keputusan UPSR yang sangat sederhana, boleh ditempatkan disekolah ini. Yang saya tahu, mendiang datuk saya tidak mahu saya ke sekolah lain. Pakcik dan Makcik sebelum saya pun bersekolah disini … saya adalah penerus generasi yang bersekolah di SMSS. Kepada yang tidak tahu, mungkin menyangka saya bersekolah di sebuah sekolah jenis kebangsaan cina. Tetapi, sebenarnya, Sung Siew adalah sebuah sekolah separa kerajaan. Kerana itulah sekolah ini dinamakan Sekolah Menengah dan bukan Sekolah Menengah Kebangsaan. Tidak ada bezanya pendekatan pendidikan di sekolah ini berbanding sekolah SMK yang lain. Sekolah ini juga terletak di kawasan berbukit. Kecil dari segi size. Dan hanya ada 5 kelas dalam untuk setiap tahap (Ting 1-5) Walaupun sekolah kami ini tidak punya padang atau kelengkapan sukan yang lain … tetapi …. kami lah satu-satunya sekolah pada ketika itu yang memiliki astaka dan boleh duduk ketika perhimpunan. Hehehehe….
Saya tidak melalui zaman pendidikan yang menerjukakan ketika berada di Sung Siew. Saya lebih teruja untuk berborak dengan teman-teman, tengok budak senior/junior yang handsome, merancang untuk ponteng kelas, menanti waktu rehat, dan ingin segera waktu pembelajaran tamat kerana saya bosan berada dalam kelas. Saya datang ke sekolah pun kerana teman-teman. Ya, begitulah saya ketika berada di Sung Siew ini.
Sehinggalah ketika saya berada di tingkatan 3, tiba-tiba guru sejarah saya pada ketika itu, Cikgu Ganesan, mahu melakukan kuiz sejarah. Kelam kabut satu kelas dibuatnya. Lagi kelam kabut bila dia memilih saya yang ketika itu duduk di belakang kelas, untuk menjawab soalan : PADA TAHUN BERAPA MELAKA JATUH KE TANGAN PORTUGIS??? KEBETULAN … KEBETULAN … KEBETULAN … pada malam sebelum itu, saya berkesempatan membelek buku teks Sejarah kerana dipaksa ulang kaji oleh mendiang atuk … jadi saya jawab dengan yakin. lepas tu dia tanya lagi … APA NAMA SULTAN, DAN KEMANA MEREKA BERUNDUR. Dengan yakin, saya jawab lagi …. pastu tanya lagi …. dan saya jawab lagi. GOOD, boleh duduk. Lepas tu, soalan sejarah je … memang aku antara yang akan kena tanya lah …. bermula detik itu, dan kerana Cikgu Ganesan dan subjek Sejarah, saya mula membelek buku Geografi dan Sains. Kerana Cikgu Ganesan, saya mendapat grade yang agak mengkagumkan untuk Sijil Rendah Pelajaran. Ketika berada di Tingkatan 4 dan 5, saya sudah tidak berkomporomi dengan pendidikan. Walaupun adakalanya saya lalai, tetapi saya tidak lagi membelakangkan pembelajaran. Kecuali Matematik, saya score semua mata pelajaran yang diajar.
Hinggalah saya berada di Sekolah Menengah St. Mary’s pada tahun 1994 – 1995 untuk Tingkatan 6, subjek sejarah masih menjadi favourite subjek saya. Dan selalu juga score high mark untuk subjek ini ketika ujian. Sampai saya pernah bercita-cita ingin jadi ahli arkeologi kerana pada ketika itu saya ingat hanya itu yang dilakukan pencinta sejarah. hehehehehehe….
Akademi TV3, tiga tahun selepas tingkatan 6 juga turut mengujakan …. kerana saya sudah tahu apa yang saya inginkan dalam hidup.
Kepada guru-guru yang pernah mengajar saya : Cikgu Eddie Tan, Cikgu Chong, Cikgu Chamnek, Cikgu Katherine Dass, Cikgu Micheal Tan, Cikgu Sadha, Cikgu Manohara, Cikgu Samshul (arwah), Cikgu Pandir, Cikgu Zul, Puan Rabiah, En. Burn, En. Tojo, En. Anuar dan semuanya……. termasuk guru saya di alam pekerjaan En. Zainal Rashid Ahmad :
TERIMA KASIH TIDAK TERHINGGA. UNTUK ILMU DAN PENGETAHUAN YANG DICURAHKAN .. UNTUK DEDIKASI YANG TIDAK PERNAH BERTEPI … UNTUK BUDI YANG TIDAK PERNAH TERBALAS…. SEMOGA DAPAT SAYA LUNASKAN DENGAN ILMU & PENGETAHUAN JUGA … SATU HARI NANTI.
TERIMA KASIH CIKGU!
Dan kepada uncle Nyong dan aunty Roslyn yang kedua-duanya Guru, selamat hari Guru!
Kepada teman-teman guru, Rodney & Sandra, Jason & Collyn, Stella, Flora, dan semuanya …. SELAMAT HARI GURU!
Dan kepada bakal guru …. ambil waktu untuk memberi sedikit perhatian kepada anak murid anda, kerana sedikit perhatian itu mungkin mampu mengubah perspektifnya terhadap pendidikan dan mencetus keinginannya untuk mencintai ilmu.